Anda boleh membuat permohonan bayaran balik untuk hampir setiap pembelian di Steam –atas sebarang sebab. Mungkin PC anda tidak memenuhi keperluan perkakasan; anda membeli permainan secara tidak sengaja; atau anda sudah bermain permainan tersebut selama sejam dan tidak menyukainya.

Tiada masalah. Tidak kira apa-apa jua sebabnya, Valve akan mengeluarkan bayaran balik atas permintaan melalui steamproxy.com/steamhelp, jika permintaan dibuat dalam tempoh masa syarat pemulangan, dan bagi permainan, jika ia telah dimainkan selama kurang daripada dua jam.

Butiran lanjut boleh ditemui di bawah. Namun, jika anda tidak memenuhi peraturan bayaran balik yang kami sudah jelaskan, anda masih boleh meminta bayaran balik dan kami akan menyemak permintaan anda. Pengguna di sesetengah bidang kuasa mungkin boleh mendapatkan hak tambahan untuk bayaran balik sekiranya permainan tersebut rosak.

Anda akan menerima bayaran balik penuh bagi pembelian anda dalam masa seminggu selepas kelulusan. Bayaran balik ini akan dimasukkan ke dalam dana Dompet Steam anda atau melalui kaedah pembayaran yang sama seperti pembelian asal. Jika Steam tidak dapat memproses bayaran balik melalui kaedah pembayaran awal anda atas sebarang sebab, amaun penuh akan dikreditkan ke dalam Dompet Steam anda. (Beberapa kaedah pembayaran yang tersedia melalui Steam di negara anda mungkin tidak menyokong bayaran balik ke kaedah pembayaran asal. Klik di sini untuk senarai penuh.)

Kelayakan Bayaran Balik

Tawaran bayaran balik Steam terpakai dalam masa dua minggu selepas pembelian dan dengan masa bermain selama kurang daripada dua jam, untuk permainan dan aplikasi perisian di gedung Steam. Berikut ialah gambaran keseluruhan tentang cara bayaran balik berfungsi untuk jenis pembelian lain.

Bayaran Balik untuk Kandungan Boleh Muat Turun
(Kandungan gedung Steam yang boleh digunakan dalam permainan atau aplikasi perisian lain, "DLC")

DLC yang dibeli daripada gedung Steam boleh dibayar balik dalam masa empat belas hari selepas pembelian, dan jika permainan utama telah dimainkan kurang daripada dua jam sejak DLC dibeli, selagi DLC tersebut belum digunakan, diubah suai atau dipindahkan. Harap maklum bahawa dalam sesetengah kes, Steam mungkin tidak dapat memberikan bayaran balik untuk DLC pihak ketiga tertentu (contohnya, jika DLC tersebut meningkatkan tahap watak permainan secara kekal). Pengecualian ini akan ditandakan dengan jelas sebagai tidak boleh dibayar balik di halaman Store sebelum pembelian.

Bayaran balik untuk Pembelian Dalam Permainan

Steam akan menawarkan bayaran balik untuk pembelian dalam permainan bagi permainan yang dibangunkan oleh Valve dalam masa empat puluh lapan jam selepas pembelian, selagi item dalam permainan tersebut belum digunakan, diubah suai atau dipindahkan. Berdasarkan syarat ini, pembangun pihak ketiga mempunyai pilihan untuk mendayakan bayaran balik bagi item dalam permainan. Steam akan memaklumkan kepada anda semasa pembelian jika pembangun permainan memilih untuk menawarkan bayaran balik bagi item dalam permainan yang anda bakal beli. Jika tidak, pembelian dalam permainan bagi permainan yang bukan dibangunkan oleh Valve tidak boleh dikembalikan melalui Steam.

Bayaran Balik untuk Tajuk yang Dibeli Sebelum Tarikh Keluaran

Apabila anda membeli tajuk di Steam sebelum tarikh keluaran, had masa bermain selama dua jam untuk bayaran balik akan terpakai (kecuali untuk ujian beta), tetapi tempoh 14 hari untuk bayaran balik tidak akan bermula sehingga tarikh keluaran. Sebagai contoh, jika anda membeli permainan yang berada dalam Akses Awal atau Akses Lanjutan, sebarang masa bermain akan dikira dalam had dua jam untuk bayaran balik. Jika anda membuat prapembelian untuk tajuk yang tidak boleh dimainkan sebelum tarikh keluaran, anda boleh memohon bayaran balik pada bila-bila masa sebelum tarikh keluaran tajuk tersebut. Tempoh bayaran balik standard iaitu 14 hari/dua jam akan terpakai bermula pada tarikh keluaran permainan tersebut.

Bayaran Balik Dompet Steam

Anda boleh memohon bayaran balik untuk dana Dompet Steam dalam masa empat belas hari selepas pembelian jika ia dibeli di Steam dan jika anda belum menggunakan dana tersebut.

Langganan Boleh Diperbaharui

Untuk sesetengah kandungan dan perkhidmatan, Steam menawarkan akses berkala (cth. bulanan, tahunan) yang perlu dibayar secara berulang. Jika langganan yang boleh diperbaharui tidak digunakan dalam kitaran bil semasa, anda boleh memohon bayaran balik dalam masa 48 jam selepas pembelian awal atau dalam masa 48 jam selepas pembaharuan automatik. Kandungan dianggap telah digunakan jika mana-mana permainan dalam langganan telah dimainkan semasa kitaran bil semasa atau jika mana-mana faedah atau diskaun yang disertakan dengan langganan telah digunakan, diubah suai, dihabiskan atau dipindahkan.

Harap maklum bahawa anda boleh membatalkan langganan aktif pada bila-bila masa dengan pergi ke butiran akaun anda. Setelah dibatalkan, langganan anda tidak akan diperbaharui secara automatik lagi, tetapi anda masih boleh mengakses kandungan dan faedah langganan sehingga akhir kitaran bil semasa.

Perkakasan Steam

Dalam tempoh masa dan proses yang ditetapkan dalam Dasar Bayaran Balik Perkakasan, anda boleh memohon bayaran balik untuk perkakasan dan aksesori Steam yang dibeli melalui Steam.

Bayaran Balik untuk Bundle

Anda boleh menerima bayaran balik penuh untuk mana-mana bundle yang dibeli di Steam Store, selagi tiada item dalam bundle tersebut telah dipindahkan, dan jika jumlah masa penggunaan untuk semua item dalam bundle adalah kurang daripada dua jam. Jika bundle mengandungi item dalam permainan atau DLC yang tidak boleh dibayar balik, Steam akan memaklumkan kepada anda sama ada seluruh bundle tersebut boleh dibayar balik semasa proses pembayaran.

Pembelian yang Dibuat Di Luar Steam

Valve tidak dapat memberikan bayaran balik untuk pembelian yang dibuat di luar Steam (contohnya, CD Key atau kad Dompet Steam yang dibeli daripada pihak ketiga).

Larangan VAC

Jika anda telah dilarang oleh VAC (sistem Valve Anti-Cheat) pada sesuatu permainan, anda kehilangan hak untuk memohon bayaran balik bagi permainan tersebut.

Kandungan Video

Kami tidak dapat menawarkan bayaran balik untuk kandungan video di Steam (cth. filem, video pendek, siri, episod, dan tutorial), melainkan jika video tersebut disertakan dalam bundle bersama kandungan lain (bukan video) yang layak untuk bayaran balik.

Bayaran Balik untuk Hadiah

Hadiah yang belum ditebus boleh dibayar balik dalam tempoh bayaran balik standard iaitu 14 hari/dua jam. Hadiah yang telah ditebus juga boleh dibayar balik di bawah syarat yang sama jika penerima hadiah memulakan permintaan bayaran balik. Dana yang digunakan untuk membeli hadiah akan dipulangkan kepada pembeli asal.

Hak Penarikan Balik EU

Untuk penjelasan tentang cara hak penarikan balik EU berfungsi untuk pelanggan Steam, klik di sini.

Penyalahgunaan

Bayaran balik direka untuk menghapuskan risiko ketika membeli tajuk di Steam – bukan cara untuk mendapatkan permainan percuma. Jika kami mendapati anda menyalahgunakan bayaran balik, kami mungkin akan menghentikan tawaran bayaran balik kepada anda. Memohon bayaran balik untuk tajuk yang dibeli sejurus sebelum jualan dan kemudian membeli semula tajuk tersebut pada harga jualan tidak dianggap sebagai penyalahgunaan.

Cara Memohon Bayaran Balik

Anda boleh memohon bayaran balik atau mendapatkan bantuan lain berkaitan pembelian Steam anda di steamproxy.com/steamhelp.


Kemas kini terakhir 23 April, 2024