Tingkah Laku Dalam Talian Steam

Sebagai pelanggan Steam, anda bersetuju untuk mematuhi peraturan tingkah laku berikut. Secara umum, sebagai pengguna Steam, anda perlu menjadi warga dalam talian yang baik dan tidak melakukan perkara yang mencegah mana-mana pengguna Steam yang lain daripada menggunakan dan menikmati Steam.

Lebih khusus lagi, anda tidak boleh melakukan, atau cuba untuk melakukan mana-mana perkara berikut di Steam:

  • Terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: mengeksploitasi kanak-kanak; mencuri; menggalakkan keganasan di dunia nyata; terlibat dalam penipuan; dan mencipta identiti palsu untuk tujuan mengelirukan pihak lain.
  • Memuat naik atau menyiarkan kandungan yang haram atau tidak sesuai
    Contoh kandungan sedemikian yang dilarang termasuk:
    • Gambaran keganasan sebenar atau mengganggu;
    • Kandungan yang mengeksploitasi kanak-kanak dalam apa-apa jua cara; dan
    • Kandungan seksual yang eksplisit. Ini tidak melarang kandungan permainan yang disiarkan di hab permainannya sendiri.
  • Melanggar hak peribadi orang lain
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: dedah maya; menipu; mencuri; menyamar; mengintip; mengakses akaun Steam pengguna lain; dan menyiarkan kenyataan fitnah atau mencemarkan nama baik.
  • Mengganggu pengguna lain atau kakitangan Steam
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: hasut maya; mengumpan; mengancam; menghantar spam; menakutkan; dan menggunakan bahasa kasar atau penghinaan.
  • Mengganggu, merosakkan, atau memanipulasi Steam
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: melancarkan serangan ke atas pelayan Steam; memanipulasi ulasan Steam atau kandungan lain secara tidak wajar; dan menjanakan akaun Steam secara automatik.
  • Mengganggu atau merosakkan komputer pengguna lain
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: memuat naik atau memautkan perisian hasad seperti virus atau kuda Trojan; dan melancarkan serangan ke atas komputer pengguna lain.
  • Penipuan
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: menjalankan program penipuan; smurfing; dan meningkatkan kedudukan padanan perlawanan anda secara tidak wajar.
  • Melanggar hak harta intelek orang lain
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: memuat naik bahan yang bukan hak milik anda; menggunakan tanda dagangan atau bahan dengan hak cipta orang lain; dan melanggar paten, rahsia perdagangan, atau hak proprietari orang lain.
  • Mengumpul atau mengedar maklumat secara tidak wajar
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: mengumpul atau memperoleh maklumat tentang orang lain, termasuk alamat e-mel; serta mengedar tinjauan, bahan pemasaran berbilang peringkat, surat berantai, atau e-mel remeh.
  • Terlibat dalam aktiviti komersial
    Contoh tingkah laku yang dilarang termasuk: menyiarkan iklan; menjalankan pertandingan; berjudi; membeli atau menjual akaun Steam; menjual kandungan, kad hadiah, atau item lain; dan meminta-minta.