KURATOR STEAM
Membeli-belah Dengan Suara yang Anda Percayai

Layari gedung Steam dibimbing oleh suara dan personaliti yang anda kenali dan percayai. Atau temui suara baharu dalam kalangan Kurator Steam yang berkongsi cita rasa permainan anda. Anda akan mendapati bahawa ramai wartawan, YouTuber, dan personaliti internet yang anda kenali sudah menjadi Kurator Steam dan telah berusaha keras untuk menyediakan ulasan dan cadangan untuk membantu anda menemui permainan kegemaran anda yang seterusnya.

Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara Kurator Steam membentuk pengalaman membeli-belah anda di Steam.

Ikuti Kurator Steam
untuk Mencari Lebih Banyak Permainan Hebat
Di laman utama anda

Dengan mengikuti satu atau lebih Kurator, anda akan melihat cadangan mereka di laman utama Steam anda.

Apabila anda melawat halaman gedung melalui cadangan Kurator, anda akan melihat pendapat mereka. Selain itu, jika Kurator telah menyertakan pautan ke ulasan video, kami akan menunjukkan video tersebut di Steam.

 
Di halaman genre dan tag

Apabila anda melawat halaman tag atau genre, anda kini akan menemui cadangan daripada Kurator Steam yang anda ikuti disertakan dalam permainan yang ditunjukkan di bahagian atas halaman.


Bagaimanakah saya boleh tahu siapa yang patut saya ikuti?

Anda boleh mulakan dengan melihat permainan yang dicadangkan oleh kurator dan baca slogan kurator tersebut. Adakah mereka mencadangkan permainan yang menarik minat anda? Adakah mereka berkongsi perkara menarik tentang permainan yang dicadangkan?


Temui Lebih Banyak Permainan
Dan Butiran Lanjut Setiap Permainan
Di halaman Kurator

Kini, Kurator mempunyai lebih banyak pilihan dalam menyesuaikan halaman Steam mereka; memilih bahagian yang ingin ditunjukkan, senarai tertentu untuk ditampilkan, dan tag untuk menapis ulasan mereka.

Selain itu, layari ulasan Kurator mengikut populariti, tarikh keluaran, atau diskaun.

Kini, kandungan video daripada Kurator mempunyai tempat khusus di halaman Steam, menjadikannya lebih mudah untuk melihat pendapat Kurator tentang sesuatu permainan.

Bermula
Ikuti Beberapa Kurator Steam
Cara untuk menjadi Kurator

Cipta kumpulan Komuniti Steam baharu atau gunakan kumpulan sedia ada yang melihat anda bertindak sebagai pegawai atau moderator. Anda boleh menggunakan kumpulan tersebut untuk membuat cadangan sebagai diri sendiri, atau membenarkan beberapa individu mewakili sesebuah organisasi.

Klik di sini untuk melihat kumpulan yang anda sertai pada masa ini.

Daripada halaman kumpulan anda dalam Komuniti Steam, pilih tab "kurator", masukkan slogan, dan mula membuat cadangan. Setelah anda membuat 10 cadangan, kurator anda boleh muncul dalam senarai kepada pengguna yang mencari kurator untuk diikuti.

Siapakah yang boleh menjadi Kurator Steam?

Gamer, peminat, pengkritik, wartawan, pembangun, artis, individu dalam industri, pengurus, pencinta alam sekitar, pereka bentuk, atau sesiapa sahaja yang ingin membantu gamer lain menemui permainan kegemaran baharu. Anda hanya perlukan akaun Steam tanpa had untuk bermula.

Bolehkah saya mencadangkan permainan yang bukan dalam pustaka Steam saya?

Ya, anda boleh mencadangkan mana-mana permainan yang tersedia melalui Steam. Tetapi, anda tidak boleh mencadangkan permainan yang tidak wujud.

Bolehkah saya memautkan ke saluran YouTube saya?

Semestinya! Setiap kali anda membuat cadangan, anda boleh menulis kira-kira beberapa ratus aksara tentang sebab anda mencadangkan sesebuah tajuk. Namun, kami faham jika anda sudah mempunyai ulasan hebat di laman web anda sendiri, atau panduan video yang telah dirakam. Jadi, anda juga boleh sertakan pautan ke saluran YouTube, laman web, blog, podcast, atau Tweet anda.

Berapa banyak permainan yang saya boleh cadangkan?

Anda boleh menyiarkan sehingga 1,000 ulasan.

Adakah saya akan mendapat bayaran sebagai kurator?

Tiada sistem pampasan secara langsung yang dibina dalam Kurator Steam, tetapi anda mungkin mendapati ia berguna dalam cara lain seperti meningkatkan trafik ke laman ulasan anda, meningkatkan jumlah tontonan video anda (melalui YouTube, nicovideo.jp, youku.com, atau bilibili.com), atau sekadar membina kesedaran tentang jenama anda. Atau mungkin sekadar rasa puas hati kerana anda telah membantu seseorang menemui permainan hebat yang anda gemari.

Apakah perbezaan antara mengikuti dan menyertai kumpulan?

"Mengikuti" dan "Menyertai" kumpulan pengguna Steam ialah dua tindakan yang berbeza. Jika anda mengikuti kumpulan, anda hanya mendaftar untuk melihat cadangan Kurator Steam kumpulan tersebut dalam Suapan Aktiviti Komuniti anda dan mungkin juga di laman utama Steam anda. Jika anda menyertai kumpulan, maka anda ialah ahli kumpulan tersebut dan boleh menyertai perbincangan, meninggalkan komen, menyertai sembang kumpulan, atau aktiviti kumpulan lain.

Kebolehan untuk menyertai kumpulan pengguna Steam mungkin terhad berdasarkan tetapan kebenaran kumpulan tersebut. Namun, mana-mana kumpulan yang telah membuat cadangan sebagai Kurator Steam boleh diikuti oleh mana-mana pengguna Steam, tanpa mengira tetapan kebenaran kumpulan.

Adakah terdapat peraturan untuk Kurator Steam?

Ya. Kami mempunyai beberapa peraturan yang mengawal penggunaan ciri Kurator Steam:

  1. Apa sahaja yang anda tulis ketika membuat cadangan adalah tertakluk pada peraturan dan garis panduan yang sama seperti Kandungan Dijanakan oleh Pengguna Steam yang lain, seperti yang dinyatakan dalam Peraturan dan Garis Panduan untuk Steam: Perbincangan, Ulasan, dan Kandungan Dijanakan oleh Pengguna.
  2. Cadangan tidak boleh mengandungi pautan atau mempromosikan mana-mana gedung selain daripada Steam.
  3. Jika anda telah menerima wang atau pampasan lain untuk membuat ulasan produk atau menyiarkan cadangan, anda mesti mendedahkan fakta ini dalam cadangan anda.

Untuk Pembangun Permainan: Curator Connect

Curator Connect direka untuk memudahkan pembangun permainan menghantar salinan ulasan kepada Kurator Steam yang memiliki suara, personaliti, dan audiens yang tepat untuk permainan tersebut. Dalam Curator Connect, pembangun permainan akan menemui alat untuk mencari dan menapis senarai Kurator untuk mendapatkan padanan terbaik dan menghantar salinan ulasan secara terus dan serta-merta melalui Steam tanpa menggunakan e-mel atau kekunci.

Bagaimanakah saya boleh mencari Kurator Steam yang sesuai untuk permainan saya?

Kurator yang tepat untuk permainan anda bergantung pada jenis permainan yang anda miliki. Anda boleh mencari Kurator mengikut tag, bahasa, OS, atau nama. Bagi setiap Kurator, anda akan melihat penerangan ringkas tentang jenis permainan yang mereka tumpukan. Anda juga boleh melihat jumlah pengikut mereka di Steam serta pengikut di YouTube, Twitter, Facebook, dan Twitch. Anda juga boleh klik pada setiap Kurator untuk melawat halaman gedung mereka dan melihat beberapa permainan lain yang diluas oleh mereka. Ini akan memberi anda gambaran jika Kurator tertentu sesuai untuk permainan anda.

Apakah yang berlaku apabila saya menghantar salinan permainan saya?

Apabila anda menghantar salinan permainan anda kepada Kurator tertentu, permainan tersebut akan muncul dalam papan pemuka ahli Kurator tersebut yang mempunyai kebenaran untuk menerima permainan melalui Curator Connect. Setiap ahli yang mempunyai kebenaran diperlukan juga akan menerima pemberitahuan e-mel yang memaklumkan mereka tentang permainan baharu yang sedang menunggu melalui Curator Connect. Kemudian, setiap ahli boleh memilih untuk menerima permainan ke dalam akaun mereka atau mengabaikan permainan tersebut. Sebagai pembangun, anda mempunyai papan pemuka untuk melihat salinan yang telah anda hantar kepada setiap Kurator dan bilangan salinan yang telah diterima.

Bolehkah saya membatalkan permainan daripada Kurator Steam?

Anda tidak boleh membatalkan permainan daripada Kurator Steam setelah mereka menerimanya. Namun, jika anda telah menghantar salinan yang belum diterima, anda boleh meluputkan tawaran tersebut supaya permainan itu tidak tersedia untuk diterima lagi.

Bolehkah saya menghantar salinan prakeluaran permainan saya?

Ya. Permainan yang anda hantar kepada Kurator boleh dimainkan dengan serta-merta, tanpa mengira sama ada ia tersedia untuk dijual atau belum. Anda boleh menggunakan ciri ini untuk menghantar salinan pratonton kepada Kurator Steam untuk menghebahkan maklumat tentang permainan anda sebelum pelancaran. Sudah tentu, anda perlu memastikan permainan anda dalam keadaan sudah sedia untuk dimainkan sebelum menghantarnya.

Adakah Kurator wajib menulis ulasan untuk permainan saya?

Kurator Steam tidak wajib untuk menerima, bermain atau mengulas permainan anda. Kurator boleh menerima dan bermain permainan anda, tetapi mendapati bahawa ia tidak sesuai untuk audiens mereka. Atau, Kurator boleh terus menolak permainan jika ia jelas tidak relevan untuk audiens mereka.

Siapakah yang boleh mengakses Curator Connect?

Pembangun permainan perlu mempunyai permainan yang sama ada sudah dikeluarkan atau mempunyai halaman gedung yang boleh dilihat secara umum. Dalam pasukan pembangun permainan, pengguna yang mempunyai kebenaran untuk meminta Kunci Steam boleh mengakses Curator Connect untuk menghantar salinan permainan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Curator Connect, sila lihat Dokumentasi Kurator Steam.